Selasa, 29 Mac 2016

Pokok senduduk.

Salam bertani.

Kerja-kerja membersihkan kebun yang biasa dilakukan ialah menghapuskan pelbagai tumbuhan rumpai yang menjadi pesaing kepada tanaman. Antara rumpai yang banyak terdapat di kawasan kebun "Warisan Petani" ialah pokok senduduk. Pokok senduduk merupakan tumbuhan renek berkayu separa lembut yang sangat cepat menbiak dan boleh memenuhi kawasan kebun sekiranya tidak dikawal.

  Cara yang mudah untuk mengawal anak pokok senduduk ialah dengan menggunakan semburan racun rumpai jenis sentuh seperti paraquat. Walau bagaimana pun, bagi pokok senduduk yang besar dan tinggi perlu ditebas dahulu sehingga ia mengeluarkan pucuk-pucuk baru, baharulah disembur dengan racun rumpai.

   Pokok senduduk cepat berbunga dan berbuah. Buah matangnya mengandungi banyak biji benih yang akan tumbuh menjadi pokok baru. Bagi petani, pokok senduduk adalah musuh tanaman yang perlu dihapuskan walau pun sebenarnya ia mempunyai pelbagai khasiat perubatan dan manfaat yang lain.


Anak pokok senduduk


Pucuk dan daun senduduk.
Mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat


Kudup bunga senduduk.


Bunga senduduk sedang berkembang.
Kebanyakan pokok senduduk liar bunganya berwarna unggu.


Buah senduduk muda.
Kanak-kanak zaman dahulu jadikan peluru pistol mainan


Buah senduduk akan pecah apabila matang.
Boleh dimakan, rasanya manis dan meninggalkan warna unggu di lidah.


Pokok senduduk dewasa menghasilkan
banyak bunga dan buah.





Memenuhi kawasan kebun kelapa sawit
dan perlu dikawal pertumbuhannya.

  Sekiranya berlaku luka kecil semasa bekerja di kebun, pucuk senduduk biasanya digunakan untuk memberhentikan darah dengan cara melenyeknya di tapak tangan sehingga lumat dan menampalkannya pada luka tersebut. Daun senduduk boleh juga digunakan untuk menghilangkan bau hanyir ikan air tawar dan ia juga adalah salah satu ramuan herba untuk membuat telur pindang.
Ada banyak lagi khasiat kesihatan dari pokok senduduk yang diamalkan oleh orang zaman dahulu yang semakin kita lupakan.

Salam bertani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan