Ahad, 3 April 2016

Rumput Israel.

Salam Bertani.

Pokok rumpai yang paling banyak terdapat di kebun WP ialah rumput israel. Ia sangat mudah membiak dan boleh didapati di mana-mana terutama di kebun kelapa sawit, kebun getah, dusun buah-buahan, kebun sayur, padang ragut dan kawasan sekeliling rumah. Pokok rumput israel perlu dikawal pertumbuhannya kerana ia menjadi pesaing kepada tanaman terutama sekali dalam penggunaan nutrien dan ruang.

    Ia dipanggil rumput israel kerana cepat menguasai sesuatu kawasan dan boleh menghapuskan rumpai lain dan juga tanaman yang kita tanam. Rumput israel membiak melalui biji benih dan juga ruas batang yang boleh mengeluarkan akar. Biji benihnya mudah tersebar melalui tiupan angin. Rumput israel hidup subur sama ada di kawasan lapang mahupun kawasan terlindung/naung.

  Cara kawalan yang berkesan bagi rumput israel ialah dengan menyembur racun rumpai jenis sistemik (serap) yang mengandungi glyposit. Racun rumpai jenis sentuh kurang sesuai kerana batang rumput israel jenis berair dan mudah tumbuh semula. Bagi kebun buah-buahan, rumput israel perlu dicabut atau dipotong menggunakan mesin rumput atau sabit.



Anak rumput israel yang tumbuh daripada biji benih.


Rumput israel daripada satu biji benih.
Mudah dan cepat merebak.


Rumpur israel di dusun buah-buahan


Rumput israel di kebun kelapa sawit


Menguasai  sesuatu kawasan dan ruang dengan cepat.


Bunga rumput israel yang cantik


Bunga rumput israel mengandungi nektar yang digemari lebah.


Buah rumput israel.


Sekuntum bunga menghasilkan satu biji buah.


Buah matang akan menyebarkan biji benih.

Rumput israel di kebun WP selalu dipotong oleh penternak kambing dan arnab untuk dijadikan makanan ternakan mereka. Rumput israel yang tumbuh di padang ragut juga sangat digemari oleh ternakan lembu. Bunga rumput israel adalah sumber madu yang bermutu kepada penternak lebah dan kelulut.

Dari segi amalan pertanian baik, pertumbuhan rumput israel di kawasan kebun buah-buahan dapat mengekalkan kelembapan tanah dan dapat mengurangkan suhu tanah semasa musim kemarau. Ia juga dapat berfungsi sebagai penutup bumi bagi mengurangkan hakisan di tanah cerun.

Rumput israel juga mempunyai khasiat perubatan di mana daunnya boleh digunakan untuk merawat luka terutama semasa bekerja di kebun.

Salam bertani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan