Khamis, 20 Julai 2017

Pokok Belimbing Madu

Salam bertani



Inilah gambar sepohon belimbing madu yang terdapat di dusun WP dan sedang berbuah lebat sekarang. Pokok belimbing ini telah dipangkas di bahagian atasnya supaya sentiasa rendang dan tunas baru yang tumbuh perlu sentiasa dibuang. Setiap dahan yang ada sedang mengeluarkan buah yang banyak dan ada yang hampir mencecah tanah.

Untuk mendapatkan buah yang berkualiti, sebahagian daripada buah belimbing madu tersebut perlu dibuang terutama yang saiznya tidak sekata dan kecil. Lebih elok lagi kalau buah belimbing madu ini dapat dibungkus menggunakan plastik atau kertas supaya tidak kena serangan lalat buah. Buat masa ini WP belum sempat lagi untuk membalutnya.

Gambar-gambar di bawah menunjukkan buah belimbing madu dari pokok tersebut.



 
 







 


 


 


   
 Ada sepohon lagi yang sedang berbunga.
Pokok ini belum dipangkas.



Gambar-gambar bunga belimbing madu




 Gambar di bawah menunjukkan sepohon anak pokok belimbing madu yang disemai di dalam polibeg.Pokok ini dibiakkan dengan cara cantuman mata tunas dan sudah berbunga.
Tunggu masa untuk diubah ke dusun.


 Buah belimbing madu enak dimakan segar atau dijadikan jus, mengandungi vitamin A dan C yang tinggi yang boleh meningkatkan daya tahan penyakit terhadap tubuh kita. Ia juga mengandungi kalsium yang baik untuk kesihatan tulang dan gigi.

Buah belimbing madu juga dikatakan boleh mencegah strok akibat tekanan darah tinggi, dijadikan bahan diet untuk langsing dan menurunkan kadar kalesterol dalam darah.

Walau bagaimana pun ia tidak sesuai dimakan oleh pengidap diabetis kerana mengandungi kadar gula yang tinggi dan pesakit buah pinggang  kerana berasid.
Waulahualam.

Salam bertani.

Isnin, 10 Julai 2017

MB 6 : Bekal

Salam bertani

Inilah menu bekal yang WP bawa bekerja semalam.
Nasi putih,
kepala mayung masak asam pedas,
telur ikan mayung masak gulai
dan sawi goreng.



Selamat menjamu selera.
Salam bertani.

Ahad, 9 Julai 2017

Tanaman Pisang 13 : Pisang Awak

Salam bertani

Salah satu jenis pokok pisang yang WP tanam di tepi pagar rumah ialah pokok pisang awak. Pokok pisang awak merupakan sejenis pokok pisang yang besar dan tinggi dan menghasilkan buah yang banyak.

Buah pisang awak enak digoreng dan dimakan bersama sambal kicap. Ia juga sedap dibuat lepat pisang, nagasari, pengat dan pisang salai. Pisang awak juga boleh direbus dan dimakan dengan kelapa parut manakala buah pisang awak tua boleh dibuat kerepek. Buah pisang awak yang sudah terlalu masak boleh dibuat cekodok atau lempeng pisang.

Daun pokok pisang awak sangat berguna bagi masyarakat kampung  untuk membuat alas dan bungkusan makanan atau kuih muih terutama yang dikukus atau dibakar. Jantung pisang awak pula boleh dijadikan sayuran.

Masa zaman kanak-kanak dahulu, WP biasa menggunakankan beberapa batang pisang awak dijadikan rakit (getek) untuk menyeberang sungai atau untuk bermain semasa banjr. Batang pisang awak juga boleh dijadikan tali pisang yang biasa digunakan pada masa dahulu.



Sesisir buah pisang awak


31.05. 2016 : Sepohon anak pisang awak mula ditanam
di tepi pagar rumah.


03.06.2017 : Anak pokok pisang awak mula segar dan membesar. 


08.12.2016 : Pokok pisang awak hidup subur dan
sudah mula mengeluarkan sulur.
Sebahagian sulur pisang perlu dibuang.


10.03.2017 : Pokok pisang awak mula mengeluarkan jantung. 


14.03.2017 : Jantung pisang menghasilkan bunga (putik buah pisang). 


17.04.2017 : Buah pisang awak muda.
Jantungnya sudah dipotong.


Jantung pisang awak boleh dijadikan sayuran/ulaman.


17.06.2017 : Buah pisang awak semakin berisi.
Perlu disokong (sangga) untuk mengelakkan patah.




03.07.2017 : Buah pisang awak hampir matang.


Sebiji buah pisang awak mula menguning.
Mengandungi 10 sikat pisang.



04.07.2017 :  Cara menebang pokok pisang awak yang betul
 supaya buah pisang tidak rosak (terhempas).


Tandan pisang awak yang tergantung (tidak mencecah tanah)
selepas pokoknya ditebang.


Setandan buah pisang awak yang dituai.
Lebih kurang 30 kg.


Perbezaan antara buah pisang awak dengan pisang kapas.


Sesisir buah pisang awak yang sudah masak selepas diperam.
Jual di paskam RM3.00 sekg.


09.07.2017 : Generasi ke-dua meneruskan legasi.

Salam bertani.