Isnin, 24 Julai 2017

Pokok Kedondong Hybrid.

Salam bertani

Pokok kedondong hybrid (mini) semakin diminati untuk ditanam menggantikan pokok kedondong saka yang besar dan tinggi. Pokok kedondong mini bersaiz kecil dan boleh juga ditanam di dalam pasu atau di kawasan yang terhad. Ia sesuai dijadikan tanaman hiasan  di sekeliling rumah. Pokok kedondong hybrid lebih cepat berbuah, berbuah sepanjang musim dan penjagaannya lebih mudah. Walaupun buahnya agak kecil, tetapi ia lebih lebat, lebih manis, kurang besabut dan mempunyai biji yang kecil.

Pokok kedondong hybrid mudah dibiakkan menggunakan biji benih dan disemai di dalam polibeg. Anak benih yang berumur 4 - 5 bulan bolehlah diubah ke kebun atau pun ditanam di dalam pasu yang agak besar. Sebelum berumur setahun biasanya pokok kedondong hybrid sudah mula berbunga dan mengeluarkan buah. Pokok kedondong boleh juga dibiakkan menggunakan kaedah tut dan cantuman terutama bagi pokok kedondong saka supaya lebih cepat mengeluarkan hasil dan rendang.



Sepohon kedondong hybrid di hujung kebun yang berumur 5 tahun.
Sentiasa berbunga dan berbuah tanpa musim.
Buahnya boleh dicapai tangan.



Ada dahan yang sudah berputik
 dan ada yang baru mengeluarkan bunga.


Bunga kedondong hybrid sedang mekar



Bunga dan putik buah kedondong.



Buah kedondong muda


Buah muda semakin berisi



Buahnya hampir mencecah tanah


Buah kedondong hybrid dari pokok yang sama hampir matang.

Buah kedondong jarang dimakan sebagai pencuci mulut kecuali bagi wanita yang mengidam. Ia biasanya diolah  untuk dijadikan jeruk buah, kerabu kedondong, acar buah, ramuan rojak buah dan boleh juga dicampurkan dalam masakan kari. Buah yang masak ranum boleh dijadikan jus atau jem.

Daun muda kedondong juga boleh dijadikan ulaman (direbus dahulu) dan boleh dijadikan penawar beberapa jenis penyakit serta dijadikan ramuan perawatan ibu-ibu selepas bersalin.
Waulahualam.

Salam bertani.
Catat Ulasan