Ahad, 2 Julai 2017

Pokok Letup-letup Bulu

Salam bertani.

Ada sepohon letup-letup bulu yang WP tanam memanjat pagar rumah sedang berbuah. Beberapa biji buahnya sudah mula matang dan bertukar warna kekuningan. Pokok letup-letup bulu ini sengaja WP tanam untuk mengimbau zaman kanak-kanak lebih setengah abad yang lalu di mana ianya menjadi makanan kegemaran pada masa itu. Apabila terjumpa saja buah letup-letup bulu yang sudah matang, kanak-kanak pada masa itu akan berebut-rebut untuk memakannya.

Berbeza dengan anak-anak dan cucu WP sekarang yang langsung tidak melihat atau bertanya tentang kehadiran pokok letup-letup bulu ini walau pun setiap hari melihatnya. Buah matangnya hanya jadi santapan WP berkongsi dengan burung-burung yang masih mengajar anak-anaknya tentang khasiat buahan liar ini.


Buah letup-letup bulu yang sedang masak ranum.


Sepohon letup-letup bulu yang hidup subur memanjat pagar rumah.


Memanjat menggunakan sulur paut.
Pucuknya boleh dijadikan sayuran bening dan ulaman.


Mengeluarkan kudup bunga pada setiap tangkai daunnya.


Kudup bunga yang diselaputi bulu di sekelilingnya


Sekuntum bunganya yang mula mekar



Bunga letup-letup bulu sedang kembang


Setiap bunga akan menghasilkan sebiji buah


Buah letup-letup muda diselaputi bulu untuk mengelakkan serangan musuh.


Buah yang hampir matang.
Saiznya sebesar ibu jari tangan saja.


Buah letup-letup bulu yang telah matang.
Rasanya enak seakan-akan buah markisa.

Pokok letup-letup bulu merupakan tumbuhan herba yang mempunyai pelbagai khasiat perubatan dan kesihatan. Ia dikatakan bagus untuk merawat penyakit yang berkaitan dengan kulit seperti gatal-gatal dan kurap. Selain itu ia digunakan untuk merawat batuk dan luka-luka kecil, baik untuk kesihatan jantung serta boleh meredakan tekanan darah, kencing manis dan kalesterol. Dengan memakan buah letup-letup bulu kita akan merasa ketenangan dan dapat meredakan stress. Ada banyak lagi khasiat pokok letup-letup bulu untuk perawatan kesihatan kita.

Salam bertani.

Catat Ulasan